Harga Motosikal Baharu Enjin 150cc Ke Atas Dijangka Meningkat
Harga motosikal model baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas dijangka meningkat antara RM100 hingga RM200, susulan langkah kerajaan mewajibkan penggunaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada model-model ini.
Bagaimanapun, penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri, berpendapat bahawa hanya sedikit model popular yang bakal terjejas akibat kenaikan ini.
“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.
“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan bahawa semua motosikal baharu dengan enjin 150cc ke atas wajib dilengkapi ABS bermula 1 Januari 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, langkah ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurut beliau, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menunjukkan bahawa ABS mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sehingga 31 peratus.
BACA: Lazada 9.9 Kembali Lagi Dengan Lebih Banyak Tawaran & Diskaun Sehingga 90%
Mengulas lanjut, Hezeri berkata, usaha untuk mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sudah lama dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Kini, ia menjadi mandatori bagi motosikal baharu dengan enjin 150cc ke atas.
Tambah beliau, ABS amat penting bagi motosikal moden dengan prestasi enjin berkuasa tinggi, terutamanya dalam keadaan cuaca yang kerap hujan di negara ini.
“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku. Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.
“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” katanya.
Sumber: Sinar Harian