MB Kedah Sahkan Sudah Berkahwin Dua Dengan Pegawai Polis

MB Kedah Sahkan Sudah Berkahwin Dua Dengan Pegawai Polis

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menamatkan spekulasi sejak beberapa minggu lalu apabila mengesahkan sudah bernikah dengan seorang pegawai polis sebagai isteri kedua.

Menurut Astro Awani, Sanusi memaklumkan pernikahan mengikut proses dan undang-undang perkahwinan yang sah. Malah, majlis peminangan isteri kedua itu turut dilakukan sendiri oleh isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

“Saya (nak maklumkan saya sudah) kahwin dengan polis, isteri saya pergi meminang, pinangan itu dibuat oleh isteri saya, berbulan (bulan) dahulu.

MB Kedah, Muhammad Sanusi sahkan sudah berkahwin dua dengan pegawai polis

“Alhamdulillah (majlis berlangsung dengan) sempurna, teratur dan beres, (pada) hari pinangan (dan) hari perkahwinan. Isteri (pertama) saya ada (bersama), anak-anak saya (juga) hadir, semua proses yang kena buat untuk (perkahwinan) itu semua dipatuhi, jadi tidak ada isu,” katanya.

Beliau membuat pengesahan itu ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Daerah Padang Terap di Dewan Komuniti Felcra Belimbing Tualak, Kuala Nerang pada Rabu.

Katanya lagi, pengumuman itu dibuat juga bagi mengelak lebih banyak spekulasi tidak benar dan fitnah ditujukan kepada beliau serta keluarganya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, beliau sebelum ini membuat keputusan untuk berdiam diri berhubung perkahwinan kedua itu.

Ia bagi mengelakkan cerita-cerita sensasi yang tidak perlu mengaitkan dirinya.

“Jadi (apabila) hampa ligan (kejar), saya pun kesian tengok hampa, saya pun maklum (harini), saya rasa tidak ada isu apa, saya ada kuota dua lagi,” katanya berseloroh.

Menurut Astro Awani lagi, terdahulu Sanusi enggan mengulas mengenai spekulasi perkahwinan kedua yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Sumber: Astro Awani