Peniaga Pasar Malam Di Perlis Wajib Henti Berniaga Semasa Maghrib

Peniaga Pasar Malam Di Perlis Diarah Henti Berniaga Waktu Maghrib

Peniaga pasar malam di Perlis wajib menghentikan operasi perniagaan masing-masing semasa waktu Maghrib, bagi menghormati waktu solat tersebut.

Perkara berkenaan dimaklum oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil melalui satu hantaran Faecbook hari ini.

Menurut Asrul, peraturan berkenaan selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Ogos lalu yang bersetuju untuk melaksanakan program ‘Berhenti Solat Dulu’.

Program berkenaan akan berkuatkuasa bermula 15 September ini melibatkan semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri Perlis.

Katanya, tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu Maghrib.

Ia bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

Peniaga pasar malam Perlis wajib hentikan operasi ketika waktu Maghrib

“Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan atau di lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur tapak pasar malam berkenaan selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga.

“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam berkenaan pula, mereka turut digalakkan untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan,” katanya.

Tambah Asrul, inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuknya waktu solat Maghrib.

Didik orang ramai solat di awal waktu

Selain itu, program berkenaan juga mahu mendidik orang ramai untuk menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan ibadah berkenaan.

“Buat permulaan, sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ ini dengan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu,” katanya lagi.

Sumber: Asrul Aimran Abd Jalil via Facebook