Sharp Corporation Umum Tutup Kilang Panel TV LCD Terakhir Di Jepun

 

Sharp Corporation Umum Tutup Kilang Panel TV LCD Terakhir Di Jepun

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sharp Corporation, sebelumnya dikhabarkan bakal menghentikan operasi kilang panel paparan cecair-kristal (LCD) di Osaka menjelang September.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Sharp Corporation mengumumkan bahawa kilang tersebut telah secara rasmi ditutup pada 21 Ogos lalu.

Menurut MSN, kilang panel TV LCD terakhir di Jepun itu dikendalikan oleh anak syarikat Sharp Corporation, Sakai Display Products (SDP).

Ia beroperasi untuk menghasilkan panel LCD bagi set televisyen.

Malangnya, dengan penutupan kilang tersebut, maka pengeluaran panel TV LCD di Jepun telah berakhir sepenuhnya.

Ini juga menandakan berakhirnya satu era bagi Sharp, yang mana TV LCD jenama Aquos mereka sebelum ini dijadikan penanda aras kualiti dalam industri teknologi.

Kilang panel TV LCD Sharp ditutup kerana kerugian kewangan

Menurut laporan dari Nikkei Asia, SDP menyebabkan Sharp menanggung kerugian sebanyak kira-kira RM5.6 bilion dalam tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2023.

Dengan industri TV yang kini beralih daripada panel LCD kepada paparan OLED, SDP gagal bersaing dengan syarikat lain dari China dan Korea Selatan.

Justeru, Sharp mengambil keputusan untuk menutup kilang SDP di Osaka, yang kebetulan merupakan kilang pengeluaran panel TV LCD terakhir di Jepun.

Untuk info, Sharp dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan syarikat pelaburan SoftBank, yang akan membeli kemudahan tersebut dan mengubahnya menjadi pusat data AI menjelang tahun 2025.

Sumber: MSN