Malaysia Sedia Lancar Semula Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA)

Malaysia bersedia dan optimis dalam melancarkan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), tertakluk kepada persetujuan EU. Ketersediaan ini adalah berdasarkan potensi manfaat yang tinggi  kepada perniagaan dan rakyat Malaysia, serta bagi menjamin rantaian bekalan global dalam sektor utama. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memulakan penilaian awal (scoping exercise) pada September 2023 untuk melihat semula langkah-langkah  yang perlu diambil agar Malaysia dan EU dapat merapatkan jurang perbezaan antara  pendirian masing-masing berdasarkan rundingan terdahulu.

Keputusan daripada kajian awal tersebut telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet minggu lalu. 

Sebelum ini, rundingan telah dihentikan selama 12 tahun dan walaupun masih  terdapat perbezaan dalam beberapa isu, MITI akan berusaha memastikan draf teks Perjanjian ini akan melindungi kepentingan Malaysia dan boleh diterima oleh kedua dua pihak.  

MEUFTA dijangka akan meningkatkan eksport Malaysia bagi produk elektrik dan elektronik; minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, serta peralatan optik  dan saintifik ke pasaran Kesatuan Eropah.

Lebih banyak aliran masuk pelaburan juga  dijangka dari Kesatuan Eropah dalam sektor berteknologi tinggi seperti tenaga hijau  dan pembuatan termaju, selaras dengan misi yang digariskan di bawah Pelan Induk  Perindustrian Baharu 2030. 

Pada tahun 2023, Kesatuan Eropah merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia  selepas Republik Rakyat China, Singapura dan Amerika Syarikat dengan jumlah dagangan bernilai RM206.79 bilion. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2024, jumlah  dagangan adalah RM125.87 bilion, peningkatan sebanyak 6% berbanding tempoh  yang sama tahun lalu. 

Dari segi pelaburan, setakat 2023, sejumlah 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion  dengan penyertaan EU telah dilaksanakan, menjana 153,139 peluang pekerjaan.