MOTAC Akan Gantung Lesen Ejen Pelancongan Jika Didapati Terlibat Sebarang Aktiviti Haram

ejen pelancongan

MOTAC Akan Gantung Lesen Ejen Pelancongan Jika Didapati Terlibat Sebarang Aktiviti Haram 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil serius isu berkenaan laporan penangkapan pendatang asing tanpa izin warga negara China dan Malaysia, di Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, Filipina yang telah berlaku pada 1 September 2024.

MOTAC telah mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini dengan menggantung lesen operasi Borneovac Travel Sdn. Bhd. sementara menunggu siasatan lanjut untuk menentukan sama ada mereka terlibat dalam isu ini.  Penggantungan ini akan kekal sehingga siasatan selesai dan terbukti bahawa agensi tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram. 

Sekiranya siasatan mendapati sebarang kesalahan oleh Borneovac Travel Sdn. Bhd.  atau mana-mana entiti lain yang terlibat, tindakan yang sewajarnya akan diambil, termasuk penggantungan lesen secara kekal. 

Peringatan kepada semua ejen pelancongan di seluruh negara agar memastikan semua  pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peraturan undang-undang. Ia adalah penting agar kita tidak terlibat atau mempromosikan sebarang amalan  perniagaan yang tidak sah.

Tindakan mempromosikan pakej pelancongan yang  merangkumi lawatan ke dua atau beberapa negara dalam satu hari merupakan satu  pelanggaran yang serius. Ia juga merupakan suatu iklan yang mengelirukan dan salah  di sisi undang-undang

MOTAC menggesa semua ejen pelancongan untuk mematuhi peraturan undang undang dan amalan etika dalam operasi mereka. Pematuhan kepada undang-undang adalah penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan  keselamatan serta kesahihan aktiviti perjalanan. 

Menurut laporan awal, penangkapan pelancong warganegara China oleh pihak berkuasa Kerajaan Filipina terdiri daripada (11) orang warga China dan (4) warga Malaysia. Walau bagaimanapun, selepas pengesahan dari pihak Kementerian Luar  Negeri, seramai lapan (8) orang warganegara China dan tiga (3) orang warganegara  Malaysia yang telah ditangkap oleh pihak maritim Kerajaan Filipina.  

Individu-individu ini ditahan oleh pihak berkuasa Filipina kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah. Walau bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut, pihak  berkuasa Filipina mendapati bahawa mereka adalah pelancong sah yang mengunjungi  kawasan tersebut untuk aktiviti memancing tanpa sebarang niat jenayah. 

The post MOTAC Akan Gantung Lesen Ejen Pelancongan Jika Didapati Terlibat Sebarang Aktiviti Haram appeared first on Siakap Keli.